Thursday, 6 June 2013

Sebelum Menegur

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man




Wahai anakku,
Sebelum menegur, tanyalah diri apakah niat menegur engkau. Jika niatnya adalah untuk menjaga ego sendiri, batalkan niat menegur tersebut. Jika niat mu adalah untuk menghukum pihak yang tidak bersetuju dengan kamu, batallah niat menegur itu. Jika niat mu adalah untuk memalukan orang, lagilah perlu dibatalkan niat kamu. Jikalau niat mu adalah untuk menunjukkan sendiri lebih pandai, batalkan niat mu. Jikalau niat mu untuk merendahkan pihak lawan, batalkanlah juga niat mu. Jikalau niat mu untuk lawan untuk menunjukkan kebodohan, batalkan niat mu. Jikalau engkau tidak pasti kebenaran dalam teguran yang engkau niatkan itu, tangguhkan dulu teguran kamu.

Wahai anakku,
Bukan tidak boleh membuat teguran. Tapi buatlah teguran yang bersifat membina. Buatlah teguran yang bersifat mendidik dan menginsafkan. Buatlah teguran yang memberi harapan. Buatlah teguran selepas mendapat kebenaran dan perspektif yang betul. Sesungguhnya buatlah teguran demi tanggungjawabmu kepada Allah dan bukannya kerana manusia dan maruah mu.

Wahai anakku,
Jagalah maruah pihak yang hendak ditegur. Tegurlah pada isu yang ada di tangan. Jangan sesekali engkau cuba membangkitkan perkara yang lepas-lepas kerana ia akan merosakkan teguran yang diniatkan baik oleh engkau.

Wahai anakku,
Semasa membuat teguran, ingatlah manusia ini tidaklah sempurna walaupun sempurna ciptaan Allah. Ingatlah manusia depan mu itu pernah juga berbuat baik dan berkata-kata yang baik. Buatlah teguran tanpa buruk sangka pada manusia di depanmu. Buangkan segala buruk sangka pada manusia di depanmu. Tunjukkan belas kasihan mu. Tunjukkan sifat penyayangmu. Tutupilah egomu. Dan jagalah kata-kata mu dan ayat-ayat mu.

Wahai anakku,
Jangan pula engkau ingat hanya kau yang layak menegur orang dan orang yang ditegur mu itu mesti akur dan terima teguran mu. Jangan engkau ingat mereka akan membisu menerima segala teguran kamu tanpa dijawab. Jangan engkau ingat engkau sahaja betul dalam teguran mu. Bersedialah berlawan dengan hujah. Jika engkau kasar dalam bahasa teguran mu, bersediakah menerima balik kekasaran yang serupa atau lebih buruk.

Wahai anakku,
Menegur itu mudah. Menerima teguran itu payah. Engkau memahami perkara itu di dalam jiwa tapi akibat bisikan syaitan dan egomu kamu sering terlupa yang menerima teguran mu itu juga seorang manusia ciptaan Allah. Bisikan syaitan menyebabkanmu merasakan diri lebih tinggi ketika menegur. Egomu menyebabkan kamu terasa diserang tanpa sebab ketika ditegur sebelum menilai teguran yang diterima samada benar mahupun palsu. Beradablah ketika menegur. Dan bersabarlah ketika ditegur kerana engkau akan saling memainkan watak ini dalam hidup kamu. Pentingkan membimbing dan memberi harapan daripada mencari salah dan menghukum dalam teguranmu. Dan pentingkan kebenaran dan nilai bersyukur ketika ditegur kerana ada yang sanggup memberi pandangan untuk membaiki diri.

Senyum